Sempena kedatangan Israk Mikraj pada 27 Rejab 1432 Hijrah bersamaan 29 Jun 2011 Masihi ,marilah kita hayati dan renungkanlah Peristiwa Israk dan Mikraj.
Di sebalik keajaiban-keajaiban peristiwa Israk dan Mikraj yang memberi pelbagai pengajaran, ia juga adalah penghibur kepada seluruh umat Islam pada masa kini, sebagaimana ia telah memberi kegembiraan kepada Nabi Muhammad SAW dan seluruh umat Islam pada waktu itu.
Perjuangan bagi melakukan pembaharuan di dalam segenap hal ehwal kehidupan manusia menerusi petunjuk agama ternyata harus melalui pelbagai rintangan dan tantangan. Pada satu-satu keadaan, cabaran yang harus ditempuh terlampau berat di mata dan dibahu yang memikulnya.
Nabi Muhammad SAW dan umat Islam telah melalui dan menempuh cabaran dan rintangan ini di dalam usaha bagi menyebarkan sinar ajaran Islam. Malah, tantangan yang mereka hadapi teramat berat sekali. Nabi Muhammad SAW secara khusus berdepan dengan pelbagai ancaman dan rintangan jiwa dan fizikal. Peristiwa dihina oleh masyarakat Taif umpamanya tenyata memeritkan hati dan nurani baginda.
Dalam keadaan tekanan perasaan yang sedemikian, kehilangan isteri tercinta, Khadijah dan bapa saudara yang pengasih, Abu Talib, menyulitkan lagi kesedihan dan kegelisahan Nabi Muhammad. Kesedihan yang bertimpa-timpa berlaku terhadap seorang Nabi dalam menjalankan amanah agama memberi petunjuk yang begitu jelas akan sifat dan tabiat cabaran yang harus didepani oleh umat Islam di dalam menegakkan cita-cita agama.
Kesedihan sedemikian dikongsi bersama oleh para sahabat dan pengikut Baginda yang setia. Mereka juga terpaksa melalui tindak balas penentang Nabi dalam bentuk ancaman, pemulauan dan siksaan. Kegelisahan dan keperitan hidup sungguh terasa. Namun kesabaran menjadi penawar dan keyakinan terhadap kebenaran agama menjadi benteng ketahanan diri.
Di dalam suasana kesedihan dan keadaan tidak menentu inilah, peristiwa Israk dan Mikrajterjadi kepada Nabi Muhammad SAW. Ia ternyata menjadi penghibur yang paling menenangkan kepada Nabi Muhammad SAW dan seluruh Umat Islam pada waktu itu.
Pengkisahan Nabi Muhammad SAW akan perjalanan malam baginda ke Baitul Maqdisseterusnya ke Sidratul Muntaha, melegakan perasaan umat Islam. Kisah yang penuh keajaiban itu ditanggap sebagai petunjuk akan sinar kejayaan yang sedang menanti umat Islam begitu pasti. Israk dan Mikraj ternyata memberi keyakinan dan berjaya meningkatkan keazaman umat Islam dalam berpegang teguh kepada seluruh petunjuk dan ajaran agama.
srak dan Mikraj harus menjadi pegangan untuk umat Islam bertindak dengan lebih berhikmah di dalam berdepan dengan keadaan kesedihan pada hari ini. Sesungguhnya, tiada jalan singkat bagi mengatasi cabaran dan rintangan melainkan menerusi usaha yang gigih di dalam segala urusan sebagaimana telah ditauladani oleh Nabi Muhammad SAW dan umat Islam terawal.
Kebesaran dan keangungan Allah S.W.T yang tergambar menerusi peristiwa ini seharusnya memberikan kita keyakinan dan keazaman untuk bersama-sama meneruskan cita-cita agama yang diwarisi dari Nabi Muhammad SAW dan Umat Islam terawal menerusi usaha penyampaian risalah Islam untuk seluruh masyarakat manusia.
Artikel ini saya ambil dari :